Sukan di Malaysia adalah salah satu kegiatan yang telah merapatkan tali silaturahim antara rakyat berbilang kaum. Sukan yang terdiri daripada pelbagai jenis seperti sukan air, sukan balapan, sukan padang, sukan tradisional dan seumpamanya ini dilakukan oleh rakyat pelbagai lapisan umur. Sehingga kini, sukan di Malaysia telah menjadi suatu aktiviti utama di Universiti-universiti tempatan di mana mereka sering melakukan aktiviti sukan tahunan atau sukan antara universiti atau antara kolej semata-mata untuk menerapkan semangat kerjasama, setia kawan, semangat untuk memenangi sesuatu pertandingan selain untuk berkenalan sesama sendiri dan justeru merapatkan hubungan antara satu sama lain.
Kebanyakan bangsa di Malaysia mempunyai sukan tradisional mereka sendiri, dimana ia telah diwarisi dari generasi ke generasi. Sukan-sukan tradisional ini sesetengahnya melambangkan ciri-ciri kesenian yang terdapat di dalam sesetangah bangsa atau kaum tersebut.
JENIS-JENIS SUKAN
1. SUKAN TRADISIONAL / RAKYAT
Antara sukan-sukan tradisional yang terdapat di Malaysia adalah seperti permainan wau. Walaupun ramai yang tidak menyedari bahawa mereka sedang bersukan, namun aktiviti-aktiviti seperti disenaraikan di atas adalah antara kegiatan utama atau kegiatan rutin di masa lapang bagi sebahagian rakyat di Malaysia.
Sukan seperti permainan Wau, tarian Naga atau permainan gasing mempunyai ciri-ciri kesenian yang melambangkan keindahan dan keharmonian rakyat di Malaysia. Aktiviti ini kebiasaannya akan di lakukan di dalam sekelompok manusia yang mempunyai minat yang sama. Masing-masing akan berkongsi tenaga, pendapat dan masa semata-mata untuk memastikan aktiviti seperti ini dapat di laksanakan.
Selain itu, terdapat juga sukan rakyat yang pada awalnya dimainkan sebagai sukan harian dan kini telah di mainkan di kejohanan-kejohanan sukan utama seperti sepak raga yang telah dikomersilkan sebagai permainan sepak takraw yang telah menjadi salah satu acara di beberapa kejohanan peringkat kebangsaan atau asia tenggara. Sukan rakyat seperti tuju guli, galah panjang, batu seremban dan sebagainya lebih banyak dimainkan oleh kanak-kanak. Permainan-permainan seperti ini atau sukan rakyat ini telah dipermainkan sejak turun-temurun dan dipelajari dari generasi terdahulu.
2. SUKAN PADANG
Sukan padang di Malaysia boleh dikatakan sebagai sukan utama yang dilakukan oleh rakyat berbilang usia. Sukan padang seperti bola sepak, hoki, ragbi, bowling padang, golf dan lain-lain dimainkan di seluruh pelusuk negara. Terutamanya permainan bola sepak yang boleh dimainkan hampir di mana sahaja telah menjadi antara sukan paling popular di Malaysia. Seterusnya sukan seperti hoki dan ragbi juga mendapat tempat di kalangan para atlit di Malaysia. Sukan baru seperti bowling padang dan golf dimainkan oleh golongan yang lebih berkemampuan kerana kos yang agak tinggi untuk melakukannya.
3. SUKAN BALAPAN
Aktiviti-aktiviti balapan ini adalah antara sukan umum yang disertai oleh rakyat Malaysia di beberapa kejohanan peringkat Asia Tenggara, Asia atau peringkat Antarabangsa. Sukan seperti lari pecut, lari berganti-ganti, lompat kijang, lari berpagar, lompat jauh, lontar peluru, lempar cakera, lompat tinggi, lompat bergalah dan seumpamanya adalah antara sukan-sukan yang disertai oleh rakyat-rakyat di Malaysia.
Kejohanan-kejohanan peringkat sekolah, daerah, negeri dan sehingga ke peringkat nasional sering diadakan sepanjang tahun untuk menyerikan dunia sukan tanahair.
4. SUKAN AIR
Di Malaysia sukan air ini juga antara aktiviti yang menarik perhatian ramai. Terdapat pelbagai sukan air yang dilakukan di Malaysia seperti kapal layar, bot laju, kayak, perahu panjang, berenang,menyelam, polo air, gimnastik, snorkling dan sebagainya. Sukan-sukan ini biasanya dimainkan sama ada di dalam pusat akuatik, kolam, tasik, sungai dan laut. Sukan air di Malaysia juga telah diperkenalkan sehingga ke peringkat antarabangsa.